Salam Mesra

SITI ZANARIAH SUHAIMI
Kaunselor Pelatih UTM

Klinik Kaunseling & Psikoterapi
C13, Aras 1, Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
81310, Skudai, Johor

Untuk membuat temujanji dengan saya, sila isi borang di bawah (bawah sekali page ini).

Terima kasih.

Bantu diri sendiri untuk membantu orang lain~

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Wednesday, January 26, 2011

Senyuman




Assalamualaikum wbt.. Kali ini saya akan menulis tentang SENYUM. Saya tahu anda semua faham dengan maksud 'senyum' kan? Dah berapa kali anda semua senyum untuk hari ini? 10? 20? 30? atau infiniti? Adakah kita perlu membayar untuk senyum atau berapakah harga sebuah senyuman?

Senyuman merupakan unsur penting dalam kaunseling terutama sekali di peringkat awal. Ia bertindak sebagai penjalin hubungan yang baik antara kaunselor dengan kliennya.

Erti sebuah senyuman bagi seorang kaunselor adalah persahabatan, penerimaan atau mengalu-alukan dan keinginan untuk bekerjasama. InsyaAllah senyuman seorang kaunselor boleh meredakan ketegangan emosi di pihak klien. Klien akan berasa selesa dan mudah untuk memulakan perbincangan. Senyuman juga harus diberikan mengikut kesesuaian dalam sesi kaunseling. Sekiranya senyuman tidak sesuai, klien akan silap menginterpretasikannya.

Senyuman klien juga harus difahami oleh kaunselor. Klien mungkin akan tersenyum untuk menutup rasa takut, risau, keliru atau serba salah. Ada juga klien senyum kerana malu, mengejek, sedih atau gembira. Kepekaan kaunselor melihat senyuman ini sangat penting untuk memastikan sesi kaunseling yang dijalankan itu sesuai dan menepati matlamat.

Setelah memahami serba sedikit tentang SENYUM, jom kita sama-sama menambah ilmu tentang RAHSIA SENYUMAN pula...

+++++++++++


Senyum membuat kita tampak menarik.
Orang yang banyak tersenyum memiliki daya penarik. Orang yang suka tersenyum membuat perasaan orang disekitarnya damai dan senang hati. Orang yang selalu merungut, cemburu, dan mengerut dahi membuat orang-orang di sekitar tidak selesa. Apabila diperhatikan orang yang banyak tersenyum memiliki lebih banyak teman.

Senyum mengubah perasaan.
Jika kita sedang sedih, cubalah senyum. Senyuman akan membuat perasaan menjadi lebih baik dan seronok. Menurut pemerhatian, senyum dapat menguatkan tubuh sehingga perasaan berubah menjadi semakin rileks. Automatik!

Senyum menghilangkan stres.
Stres dapat dilihat pada raut wajah. Senyuman boleh menghilangkan lelah, bosan, dan sedih. Ketika kita stres, ambillah waktu untuk tersenyum. Senyuman akan mengurangi stres dan membuat fikiran lebih jernih.

Senyum meningkatkan imuniti.
Senyum membuat sistem imun bekerja lebih baik. Fungsi imun tubuh bekerja secara maksima ketika seseorang merasa rileks.

Senyum menurunkan tekanan darah.
Tak percaya? Cuba anda catatkan tekanan darah saat anda tidak tersenyum dan catat lagi tekanan darah saat anda tersenyum semasa diperiksa. Tekanan darah saat anda tersenyum pasti lebih rendah.

Senyum jadi awet muda.
Dengan senyuman dapat menggerakkan banyak otot . Dikatakan kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi. Dengan banyak tersenyum kita akan kelihatan lebih awet muda.

Senyum membuat kita kelihatan berjaya.
Orang yang sentiasa tersenyum kelihatan lebih ‘confident’, terkenal, dan berwibawa. Lihatlah orang-orang yang berjaya, senyuman di wajah tak pernah lekang.

Senyum membuat fikiran positif.
Cuba praktikkan! : Fikirkan perkara-perkara buruk/negatif sambil tersenyum. Mesti susah kan? Sebabnya, ketika kita tersenyum, tubuh mengirim satu signal positif "hidup selalu baik". Sehingga saat tersenyum, tubuh menerimanya sebagai anugerah semulajadi.



Jadi, jangan fikir-fikir lagi.. Jom senyum.... (^______^)

Tuesday, January 25, 2011

Petua atasi LUPA




Assalamualaikum, semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera... Bagaimana dengan emosi dan perasaan anda pada hari ini? Harap semuanya dalam keadaan yang positif. Jika anda berasa marah hari ini, eloklah baca tip bagaimana ingin mengatasi rasa marah. Bagi yang kurang tidur pula, anda patut tahu bagaimana pentingnya tidur kepada kita.

Baiklah, untuk hari ini, saya ingin berkongsi tentang petua atasi penyakit LUPA. Lupa adalah satu penyakit yang mana boleh diatasi dengan kaedah-kaedah tertentu. Penyakit lupa bukan sahaja berlaku kepada golongan yang berumur, namun bagi yang muda remaja juga tidak terlepas daripada penyakit ini.

Kadang-kadang adakah anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yang pelupa? Mungkin terlupa tarikh penting, terlupa letak barang, terlupa makan ubat, terlupa fakta penting, terlupa menutup lampu dan macam-macam lagi.

Sebenarnya, kita dapat meningkatkan daya ingatan atau mengurangkan risiko ini dengan mengamalkan sesuatu secara berterusan. Antaranya adalah dengan memperbanyakkan membaca. Jadikan membaca sebagai rutin seharian kita. Ia bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan, malah dapat mengembangkan minda dan menajamkan daya ingatan. 

Cuba ingat sedikit sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan. Lebih baik jika kita mempraktikkannya ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa..

Membaca tidak semestinya baca buku kan? Dengan melayari website dan juga blog pun kita dapat membaca. Sebaiknya pilihlah bahan bacaan yang boleh mendatangkan faedah kepada kita. Carilah bahan bacaan yang boleh memberi ilmu pengetahuan dan menjana minda yang positif. =)

Monday, January 24, 2011

Pentingnya Tidur



Assalamualaikum..

Hari ini saya ingin berkongsi tentang PERANAN TIDUR dalam kehidupan kita. Siapa yang tidak suka tidur kan? Tapi jika seseorang itu tidur secara berlebihan akan mendatangkan mudarat juga. Sebaiknya kita perlu mengetahui kadar tidur yang mencukupi dengan badan dan usia kita.

Dalam kehidupan yang bergerak serba pantas kini, pasti senarai 'things-to-do!' oleh anda panjang berjela-jela. Tetapi adakah dalam senarai tugasan yang perlu anda lunaskan itu merangkumi waktu untuk TIDUR? Mungkin sebahagian besar daripada kita mengabaikan perkara yang satu ini, walhal tidur merupakan aktiviti yang cukup penting dalam meredakan TEKANAN yang dipikul seharian. Untuk membantu anda mendapatkan tidur yang cukup di malam hari, semak beberapa tip di bawah;

1. Beri enjin diri anda untuk tidur pada waktunya. Pastikan tidur menjadi keutamaan dalam 'to-do-list' anda.

2. Jagalah diri anda. Elakkan minuman alkohol, kafein, atau merokok secara berlebihan yang pastinya akan membuatkan anda lebih sukar untuk tidur.

3. Pastikan anda menyelesaikan kerja dan urusan anda pada petang harinya dan apabila malam, fikiran anda sudah tenang dna bersedia untuk tidur.

4. Buat jadual tidur yang tetap. Tidurlah dalam waktu yang sama setiap malam dan bangun juga pada jam yang sama setiap pagi. Ini demi memastikan jam biologi anda tetap terjaga.

5. Ciptakan suasana dan tempat tidur yang nyaman dan selesa. Pastikan bilik tidur anda sejuk, tenang, dan selesa pencahayaannya. Katil yang terlalu kecil, terlalu lembut atau keras akan membuatkan tidur anda terganggu.

Setelah meneliti tip yang berguna di atas, diharapkan kita sama-sama mengaplikasikannya supaya dapat mencegah diri kita dari mengalami stres.



Berikut beberapa hal yang terjadi pada organ tubuh saat manusia tidur seperti dilansir Dailymail, Rabu (29/12/2010): (baca artikel penuh di SINI)



** Pernah tengok filem Hindi: 3 Idiot? Ingat tentang Pengetua kolej yang tidur sekejap tepat pada masanya bagi memastikan fungsi derianya berjalan dengan baik...**





Friday, January 21, 2011

Marah!!!




Sekali MARAH sukacita hilang.
Dua kali MARAH akal sihat melayang.
Tiga kali MARAH tekanan darah naik.
Empat kali MARAH teman-teman lari.
Lima kali MARAH jadi cepat tua.
Enam kali MARAH pintu dosa terbuka.

MARAH adalah sesuatu yang bakal memberikan impak yang negatif samada kepada diri yang sedang marah atau orang yang dimarahi. Islam tidak menggalakkan MARAH dan ianya perlu dikawal supaya api kemarahan itu dapat dikawal. Lawan bagi marah adalah sabar. Sabar adalah IMAN. Jadi kita yang memilih samada inginkan Iman tersebut atau tidak.

Bagi mengatasi MARAH atau PANAS BARAN, disarankan beberapa perkara di bawah:

1. Mengubah Posisi - Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim) 

2. Berwuduk - Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) . 

3. Minum air

4. Mendiamkan diri ketika marah.. banyakkan istighfar di dalam hati. 

5. Berlindung kepada Allah daripada syaitan. 

6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai

7. Berfikiran positif

8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang

9. Bawa bertenang seperti menarik nafas. 

10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan. 

Wallahu wa'lam...

Kita mampu berubah sekiranya kita sendiri mahukannya~

Tokoh Bidang Kaunseling


Y. Bhg. Datuk Prof. Dr. Mohd Tajuddin Hj Ninggal



Datuk Prof. Dr. Mohd Tajudin Ninggal, Pengarah, Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Teknologi Malaysia, (UTM) dilantik sebagai Anggota Majlis Penasihat Kaunselor Malaysia mewakili seluruh Institut Pengajian Tinggi Malaysia oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2007. Kini sebagai Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni, Universiti Teknologi Malaysia.

Surat Perlantikan yang ditandatangani Menteri berkenaan, YB. Dato' Sri Sharizat bt Abdul Jalil itu adalah bagi tempoh dua tahun mulai 1 Disember 2007 hingga 30 November 2009.

Datuk Prof. Dr. Mohd. Tajudin,47 dilahirkan di Melaka, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Psikologi Kaunseling dari Western Michigan University, Amerika Syarikat telah memulakan kerjaya di UTM sebagai Penolong Pensyarah A di Fakulti Pendidikan. Beliau seterusnya memegang jawatan sebagai pensyarah, Prof. Madya dan Ketua Jabatan sebelum dilantik ke jawatan sekarang.

Sebagai Anggota Majlis Penasihat Kaunselor Malaysia yang diperuntukkan dibawah Seksyen 4, Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), beliau berperanan sebagai penasihat kepada Menteri mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan bidang kaunseling dan akta tersebut dan mengenai apa-apa perkara yang dirujukkan kepadanya oleh Lembaga Kaunselor.

Sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Kaunselor, beliau merupakan Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia selama dua penggal mulai 2001 sehingga 2007.

Datuk Prof. Mohd. Tajudin yang juga merupakan Kaunselor Profesional Berdaftar merupakan seorang tokoh psikologi kaunseling yang berpengalaman luas dan dikenali di peringkat kebangsaan. Antaranya, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA).

Di peringkat antarabangsa pula, beliau sangat aktif dan banyak menyumbang kepakarannya dalam aspek penyelidikan dan perundingan psikologi kaunseling. Atas sumbangan, ketokohan dan kepimpinannya beliau telah dianugerahkan Pingat Emas oleh Association of Counselor Education & Supervision (ACES), Amerika Syarikat dan telah dilantik sebagai seorang Ahli Lembaga oleh Association of Psychological Counselors and Educators of Asia Pacific (APECA) yang beribu pejabat di Manila, Filipina sejak 2003 sehingga kini.


Sumber: http://perkumum.blogspot.com

Thursday, January 20, 2011

Berhenti Menjadi Gelas




Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Semoga kalian semua sihat dan sejahtera hendaknya.. Hari ni saya ingin berkongsi tentang CERITA HATI dan kekuatan HATI.. Jom baca..

~~~~~~

Pada suatu hari, ada seorang pelajar menemui gurunya untuk menceritakan masalah yang selama ini membebani fikiran dan hatinya... Pelajar tersebut merasakan bahawa hanya dirinya sahaja selalu ditimpa masalah berbanding rakan-rakan dan keluarganya..

Pelajar: Cikgu, saya merasakan saya menanggung masalah yang besar. Malah lebih besar penderitaan apabila saya tidak mampu menangani masalah-masalah tersebut..

Guru tersebut hanya tersenyum dan memberi peluang kepada pelajarnya untuk meluahkan segala yang tersimpan di fikiran..

Guru: Alia, setiap manusia yang dijadikan olehNya tidak terlepas daripada sebarang ujian dan dugaan. Allah memberi setiap dugaan itu sesuai dengan kemampuan hambaNya. Maka kita sebagai hambaNya harus berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut..

Pelajar tersebut terdiam seketika... Guru tersebut menyambung kembali..

Guru: Baiklah, Alia.. esok bawakan saya dua genggam garam halus.

Pelajar tersebut terpinga-pinga dan bertanya.. "Untuk apa cikgu?"

~~~~~


...Keesokan harinya...


Pelajar: Cikgu, saya dah bawakan dua genggam garam...


Guru: Ok, sekarang awak masukkan segenggam garam ke dalam gelas yg berisi air ni..


Pelajar tersebut pun menurut arahan yang diberikan.. Lalu guru itu pun berkata, " sekarang awak minum air ni..."


Pelajar tersebut minum air yang telah dicampur dengan garam tersebut dan berkata, " Ohhh... Rasanya sangat teruk! Saya tak dapat menelannya lagi..."


Gurunya hanya tersenyum dan berkata.. " OK, sekarang mari ikut saya.."


Kemudian, guru tersebut membawa pelajar itu ke kawasan air terjun yang berdekatan..


~~~~~


Guru: Sekarang, awak masukkan segenggam garam lagi ke dalam sungai ini.. 


Pelajar yang masih kehairanan itu mengikut sahaja arahan gurunya. Segenggam garam yang dibawa terus ditaburkan ke dalam air sungai yang bersih, jernih dan sejuk airnya itu..


Guru: Sekarang, awak minum airnya..


Pelajar tersebut terus menadah air yang mengalir deras itu dengan tangannya, dan minum.. " Wahhhh... segarnya air ni, sejuk dan nyaman.." Perbuatan meminum air sungai tersebut diulangi lagi beberapa kali.


Pelajar tersebut mula bertanya, "Tapi, apa maksud cikgu dengan berbuat semua ini? Saya kurang faham..."


Dan guru tersebut berkata...


"Garam tersebut ibarat MASALAH. Setiap orang akan menghadapi pelbagai jenis masalah di dalam kehidupannya. Namun apa yang membezakan antara individu adalah bagaimana dia menerima masalah itu dengan hatinya.."


"Air yang terisi di dalam gelas dan juga air yang mengalir di sungai yang jernih itu pula diibaratkan sebagai hati manusia... Jika kita memiliki hati yang kecil, tidak kuat dan tidak berani, maka perasaan cepat mengalah akan timbul. Sebab itulah kita merasakan masalah yang dihadapi sangat memberi kesan kepada kehidupan kita..."


"Tetapi, sekiranya kita memiliki hati yang besar, jernih, tenang dan kuat, masalah yang menimpa tidak akan membelenggu diri kita. Seperti garam yang ditabur di dalam air sungai, ianya tidak memberi kesan pun terhadap rasa air tersebut..."


Pelajar yang khusyuk mendengar kata-kata dari gurunya itu terus menangis kerana dia mula menyedari bahawa punca datangnya masalah itu adalah daripada dalam dirinya sendiri... Kita adalah apa yang kita fikirkan. Selepas itu, pelajar tersebut mula bertanggungjawab terhadap setiap masalah yang dihadapinya... 


~~~~~


Setiap orang berhak merasa bahagia. Namun jika terus menerus ditimpa masalah, kadangkala manusia akan hilang pertimbangan untuk merasionalkan diri sendiri.. Di sinilah peranan KEKUATAN HATI. Banyakkan berdoa dan melakukan muhasabah diri. Wallahu'alam~

Monday, January 17, 2011

Manusia dan Masalah | Bahagian 2

Assalamualaikum, petang ni saya nak sambung perbincangan tentang MANUSIA dan MASALAH.. Bagi yang belum baca part 1, boleh klik SINI.

Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan tentang MANUSIA DAN MASALAH. Jom sama-sama kita baca dan memahaminya~

-------------------------------------------------------------------

MANUSIA DAN MASALAH
Oleh: Mizan Adiliah & Halimatun Halaliah. 2002. Kaunseling Individu: Apa & Bagaimana. Penerbit Fajar Bakti: Selangor

11. Tidak tahu membentuk perhubungan yang memuaskan.
Manusia, semasa berhubung dengan orang lain, berkemungkinan tidak mengendahkan faktor seperti kecenderungan orang lain, haknya dan juga kemahiran berkomunikasi.

12. Tingkah laku sendiri yang menimbulkan masalah.
Banyak masalah yang timbul akibat kelemahan manusia sendiri. Kelemahan manusia boleh berupa persepsi yang salah, pilih kasih, putus asa, terlalu mementingkan diri sendiri ataupun terlalu mementingkan orang lain, malas mencari jalan penyelesaian dan sebagainya.

13. Sukar menerima kekuatan dan kelemahan sendiri.
Sememangnya lumrah bagi manusia sukar untuk menerima atau mengiktiraf kelemahannya, walaupun disedari yang dia memiliki kelemahan tertentu. Manusia cenderung untuk menafikan wujudnya kelemahan itu. Selain kelemahan itu tidak diatasi, selagi itu manusia akan mengalami halangan-halangan.

14. Tidak kreatif untuk mencari ruang dalam masyarakat yang ada batasannya sendiri.
Terdapat sesetengah orang yang suka mengatakan masyarakat telah menyekat perkembangan potensinya. Masyarakat dikatakan tidak memberi sokongan dan persefahaman terhadap hasratnya. Akibatnya manusia ini akan duduk berdiam diri sambil menunggu apa yang masyarakat boleh buat untuknya.

15. Tidak tahu menghidupkan suasana.
Manusia cenderung untuk berasa bosan dengan keadaan atau persekitarannya. Kemudian dia menyalahkan faktor luaran, padahal dirinya yang tidak kreatif menghidupkan suasana.

16. Menggunakan strategi lama untuk menangani situasi baru.
Manusia tidak berusaha mempelbagaikan ataupun menyesuaikan strategi dengan keadaan. Apa yang kerap berlaku ialah satu strategi digunakan untuk semua strategi.

17. Masalah semasa yang berkaitan dengan masalah semalam.
Manusia sering mengenepikan masalah seolah-olah masalah tersebut tidak menjejaskan hidupnya. Padalah, kemajuan di dalam pekerjaan, rumah tangga dan sosioekonomi tersekat kerana pemikiran atau perasaannya sama ada secara sedar atau tidak sentiasa sentiasa bersama dengan masalahnya. 


Sampai sini dulu perbincangan kita tentang Manusia dan Masalah.. Sesiapa yang ada komen dan idea untuk perbincangan amatlah dialu-alukan..

 Sekian~~


Sunday, January 16, 2011

Manusia dan Masalah | Bahagian 1



Assalamualaikum dan salam sejahtera... Bagaimana dengan hari minggu? Semoga kita semua dapat memanfaatkan waktu dengan sebaiknya.. OK lah, malam ni saya ingin berkongsi tentang MANUSIA DAN MASALAH. Manusia sering dilanda masalah tidak kira masalah kecil atau besar, ianya adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Tiada manusia yang tidak dilanda masalah. Individu yang mengatakan dia tidak mempunyai masalah adalah 'orang yang bermasalah'.. =)

Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan tentang MANUSIA DAN MASALAH. Jom sama-sama kita baca dan memahaminya~

-------------------------------------------------------------------------

MANUSIA DAN MASALAH
Oleh: Mizan Adiliah & Halimatun Halaliah. 2002. Kaunseling Individu: Apa & Bagaimana. Penerbit Fajar Bakti: Selangor


1. Cepat bertindak dan lambat berfikir
Ada manusia yang bersikap tergesa-gesamahukan hasil yang cepat tanpa berfikir panjang tentang baik dan buruknya daripada tindakannya. Manusia ini lemah dari segi kesabaran dan pengawalan diri.

2. Tidak memiliki maklumat yang relevan, lengkap atau menyeluruh.
Manusia mempunyai kecenderungan untuk memikirkan atau menyatakan tentang sesuatu tanpa berusaha mencari dan mengumpul maklumat yang tepat atau lengkap.

3. Terlalu mementingkan diri sendiri dan mengetepikan hasrat orang lain.
Apabila manusia mementingkan cita-cita, keperluan atau haknya sahaja, maka wujudlah jurang taua konflik di antara dia dan orang lain. Manusia sudah tidak menghormati dan mengiktiraf hak dan ruang orang lain.

4. Terlalu melihat 'keluar'.
Berkemungkinan manusia selalu melihat 'keluar' adalah manusia yang sukar memfokuskan perhatiannya ke dalam dirinya. Seandainya ini berlaku, manusia tidak benar-benar menyelami pemikiran dan perasaannya.

5. Menyalahkan orang lain, persekitaran atau takdir.
Berkemungkinan manusia yang suka menyalahkan faktor lain selain dirinya sukar memperbetulkan kelemahannya. Boleh jadi dia akan menganggap dirinya sempurna. Kalau inilah halnya, maka tidak ada lagi ruang untuknya memperbaiki diri.

6. Tidak memiliki sebarang nilai dan matlamat.
Hidup manusia menjadi tidak konsisten atau terumbang-ambing kerana tidak ada pegangan atau falsafah tertentu.

7. Memiliki nilai dan matlamat yang sentiasa berubah-ubah.
Manusia yang sentiasa mengubah-ubah nilai dan matlamatnya tidak tahu apa sebenarnya yang dikehendakinya.

8. Memiliki nilai dan matlamat yang rigid.
Manusia yang memiliki matlamat yang rigid berkemungkinan sukar untuk menyesuaikan diri dengan orang lain atau persekitarannya. 

9. Memiliki nilai dan matlamat yang negatif atau tidak sesuai.
Nilai dan matlamat yang negatif mempengaruhi hidup manusia. Ada kalanya, manusia kurang peka atau kurang sensitif terhadap faktor yang menghasilkan masalahnya.

10. Tidak tahu atau tidak berupaya membuat pilihan.
Andai kata manusia tidak faham tentang apa yang dia mahu, suka dan boleh lakukan, maka sudah tentu dia sukar membuat sebarang pilihan. Keupayaan membuat pilihan merupakan penyelesaian kepada banyak persoalan hidup.

-----------------------------------------------------------------

Cukup dulu saya catatkan 10 perkara. Ada lagi 7 perkara tentang MANUSIA DAN MASALAH. Nantikannya ye... =)

Friday, January 14, 2011

Apa Itu Kaunseling?



Assalamualaikum...

Hari ini saya ingin berkongsi tentang apa itu kaunseling? Bila sebut perkataan KAUNSELING, apa yang terlintas di fikiran kita? Masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang kaunseling. Tidak terlepas juga pelbagai pengalaman bersama guru kaunseling atau pegawai kaunseling samaada pengalaman manis atau pahit. Saya sendiri mempunyai pengalaman pahit dan manis dengan guru kaunseling semasa zaman persekolahan dahulu... =)

OK, berbalik kepada tajuk: APA ITU KAUNSELING?

KAUNSELING bukan bererti nasihat, walaupun terdapat unsur nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien. 

Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

Kaunseling menggerakkan klien  memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu, fokus perbincangan adalah pada diri klien dan peranannya dalam permasalahannya, bukan masalahnya.

Sebagai rumusan, kaunseling adalah proses pertolongan yang professional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya....

-------------------------------------------------------------

Jadi, harap semua faham serba sedikit apa itu kaunseling secara asas. Lain kali saya akan berkongsi tentang tatacara kaunseling secara berperingkat. Tapi sebelum tu, jom kita baca apakah MITOS tentang KHIDMAT KAUNSELING. Mitos ni kalau boleh janganlah ada dalam fikiran kita. Tetapi untuk memahamkan orang lain, mungkin merupakan salah satu peranan cik kaunselor.. =)

MITOS 1: Kaunseling adalah nasihat.
MITOS 2: Hubungan kaunseling hanya sehala.
MITOS 3: Kaunseling lebih mementingkan masalah daripada manusia (klien).
MITOS 4: Kaunseling menyelesaikan masalah atau persoalan hidup.

---------------------------------------------------------------

Saya berharap, sama-samalah kita mengenali apa itu KAUNSELING.. Sekian~

Thursday, January 13, 2011

Kerja Sebagai Suatu Ibadah




Assalamualaikum dan salam perpaduan..

Alhamdulillah, syukur kehadratNya kerana dengan kehendakNya jua saya dapat menyiapkan asas blog untuk menyalurkan impian seorang kaunselor pelatih. Tujuannya adalah untuk memudahkan saya bagi menyampaikan maklumat, berkongsi ilmu dan cerita tentang pengalaman seorang kaunselor pelatih. Diharapkan dapat menjadi sesuatu yang berguna untuk semua.

Sebagai entri pertama bagi blog ini, sukalah kiranya untuk saya menceritakan sedikit sebanyak tentang diri saya.

Nama saya adalah seperti yang tertulis di atas muka surat blog ini.. =). Memang agak janggal untuk menulis blog dengan menggunakan bahasa baku dan formal, namun saya akan lakukan sedaya upaya saya. Untuk pengetahuan semua, saya mempunyai blog personal iaitu annazanariah.blogspot.com. Bagi sesiapa yang ingin mengenali saya dengan lebih mendalam, boleh ke blogspot peribadi saya tersebut.

Saya memulakan tugas sebagai Kaunselor Pelatih pada 17 Januari 2011. Perasaan bercampur baur, antara gementar, teruja dan risau. Maklumlah untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari selama setahun lebih memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Semoga saya dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik. Harap rakan-rakan semua mendoakan saya tau.

Sampai sini dulu coretan pertama saya untuk anda semua.. Sehingga berjumpa lagi, InsyaAllah~


Hubungi Kaunselor Anda

Nama *
Email *
Nombor Telefon *
No Matrik/ Staf
Perkara
 Pertanyaan 
 Temujanji 
 Lain-lain 
Anda Tulis, Saya Baca *
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[Refresh Image] [What's This?]
Powered byEMF Web Forms
Report Abuse